Selasa, 27 Januari 2009

NAMA BALING




Saya berada di kampung kelahiran sekarang. Anak-anak sedang leka bermain dengan sepupu sepapat sebaya. Saya mencuri masa ke pekan kecil Kampung Lalang. Selepas membaca akhbar Utusan Malaysia di sebuah restoran kecil saya ke satu lagi kelompok premis perniagaan baru yang berhampiran....terlihat saya pada tulisan di pintu kaca sebuah premis kecil yang berbunyi " Selamat Datang-Pusat Jalur Lebar Komuniti Kg. Lalang". Pusat Jalur Komuniti ini merupakan sebuah program yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertujuan untuk merapatkan jurang pengetahuan teknologi maklumat di kalangan komuniti setempat. Saya disambut mesra oleh seorang gadis kecil yang berkerja di situ sebaik saja saya menyelak pintu kaca memasuki ruang yang bersih dan berhawa dingin. Kelihatan beberapa remaja sedang asyik melayari internet. "terus guna?..nanti bayar?", tanya saya kepada remaja paling hadapan. "Ya abang..terus masuk...nanti baru bayar", jawabnya ringkas. Dari riak mukanya saya tahu dia tidak mengenali saya.....bukan sesuatu yang pelik sekirannya anak-anak muda di sini tidak mengenali saya. Dah hampir 20 tahun saya berhijrah keluar.....kalau saya balik pun, kebanyakan masa akan hanya cukup untuk saya habiskan bersama emak dan adik-adik di rumah....
Setelah mendaftar masuk, skrin komputer terus memaparkan laman web Pusat Jalu Lebar Komuniti Kg Lalang. Anatara perkara awal yang dimuatkan adalah sejarah mengenai Baling. Teringat saya kepada soalan soarang kawan mengenai asal usul nama Baling. Lantas saya menyalin beberapa bahagian berkaitan sejarah mengenai Baling seperti di bawah. (sedikit Ubah suai dilakukan pada perenggan pertama)



Dari laman web PJK KG Lalang
SEJARAH BALING

Baling merupakan salah satu daripada jajahan dalam negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Negeri Kedah terletak di utara Semenanjung Malaysia.
Baling terkenal dengan flora dan fauna serta tempat-tempat rekreasi yang menarik. Di antara tempat-tempat rekreasi yang terdapat di sekitar daerah Baling adalah seperti Pusat Rekreasi Air panas Ulu Legong, Lata Bayu dan Bukit Hijau. Dari sudut sejarah baling terkenal dengan peristiwa Rundingan Baling yang melibatkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang diketuai oleh Tengku Abdul Rahman dengan Parti Kominis Malaya (PKM) yang diketuai oleh Cheng Peng di Sekolah Kebangsaan Tengku Putra, Baling, Kedah Darul Aman pada 28 dan 29 Disember 1955.

ASAL USUL NAMA

Nama Baling dipercayai berasal daripada peristiwa yang tercatat di dalam Hikayat Raja Bersiong. Raja Bersiong telah memulas keluar kedua-dua siongnya di suatu tempat dan baginda membaling jauh gigi-gigi tersebut.
Tempat di mana peristiwa ini berlaku telah dinamakan Baling. Daerah Baling, di pedalaman negeri Kedah. Baling terdiri daripada enam mukim iaitu Mukim Tawar, Mukim Pulai , Mukim Kupang, Mukim Teloi Kanan, Mukim Bongor dan Mukim Siong. Kebanyakan penduduk daerah ini bersawah padi dan menoreh getah. Bandar ibu daerah ini juga bernama Baling.
Berbagai cerita tentang kemunculan nama Baling, termasuk yang dikaitkan dengan Raja Bersiong, raja keempat daripada keturunan Merong Maha Wangsa. Raja Bersiong gemar memakan sayur bayam dengan kuah darah manusia. Baginda melarikan diri setelah kegemarannya yang menjijikkan itu diketahui rakyat. Ketika Raja Bersiong lari daripada kepungan menteri dan rakyatnya, baginda terpaksa berhenti beberapa kali kerana menderita sakit gigi taring atau siongnya. Apabila kesakitannya itu tidak reda-reda, baginda mengambil keputusan untuk mencabut siongnya itu. Namun siong itu masih kejap dan tidak mudah dicabut. Sudah beberapa kali baginda menjerit kesakitan ketika cuba untuk mencabutnya. Apabila siongnya itu akhirnya berjaya dicabut baginda terus membalingnya jauh-jauh, tanda marah. Tempat siong itu jatuh dinamakan ‘Baling’.
Dalam cerita kedua, nama Baling dikaitkan dengan orang Siam (Thai) dan orang Burma (Myanmar) yang datang ke daerah itu kira-kira 200 tahun dahulu. Mereka datang ke Baling kerana ingin memulakan penghidupan baru. Setelah merentasi pelbagai jenis rintangan mereka sampai ke Baling dan membuat keputusan untuk membuka kawasan hutan di situ. Mereka begotong-royong menebang hutan dan belukar untuk memulakan penempatan baru. Mereka bercucuk tanam, berniaga dan membawa sampan penambang untuk menyara hidup. Ada juga di kalangan mereka yang mencari kayu di hutan dengan menggunakan gajah. Sungai Ketil yang pada masa itu dalam dan luas, menjadi alat perhubungan utama penduduk tempatan. Sungai itu juga kaya dengan ikan. Sampan-sampan dari Kota Kuala Muda yang sarat dengan barang-barang dagang banyak yang berlabuh di tempat itu. Pangkalan di kawasan penempatan baru itu juga dijadikan tempat memunggah candu mentah yang dibawa dari Burma untuk dijual di Kota Kuala Muda.Bagi penduduk yang bertani, tanaman mereka sangat berhasil. Mereka gembira melihat sayur-sayuran dan buah-buahan yang begitu menjadi. Akan tetapi. Kegembiraan mereka tidak kekal lama. Buah-buahan mereka seperti langsat, rambutan dan durian diserang oleh beribu-ribu kera yang dikatakan datang dari hutan Gunung Baling. Binatang-binatang itu bebas memakan dan memusnahkan buah-buahan mereka. Setelah habis musim buah-buahan, binatang-binatang itu balik ke hutan Gunung Baling. Oleh sebab kaum pendatang itu tidak pernah melihat kera yang begitu banyak mereka menamakan kampung mereka Ban-Lin yang bererti ‘kera’. Lama-kelamaan perkataan Ban-Lin bertukar menjadi ‘Baling’.

Rabu, 21 Januari 2009

UNGU-PURPLE BACKGROUND

Orang kata kaler ungu melambangkan si pemakainya berada pada tahap dewa....itulah pendapat mereka mengenai warna background gambar kad metrik aku yang baru dapat semalam (21/1/2009)....aku tak faham sangat tapi yang pasti dengan kad matrik ni dunia aku dah sikit berubah.....student la katakan. Setelah setahun lebih dok Kona sana kona sini, lompat sana lompat sini..last last landing kat USA (University At Shah Alam).....dah memang jodoh....berjumpa balik ngan lecturer lama...aku bersyukur Dr. Noriah jadi supervisor aku....kiranya dah berbelas tahun la kami berkenalan.....tp dia masih macam dulu...mesra macam mak mak kita.....harapnya selamanyalah beliau begitu...nescaya bahagia hidup aku....heee

Ahad, 11 Januari 2009

TUN DR. MAHATHIR/PALESTIN/BOIKOT ISRAEL




Dua soalan utama diajukan kepada Tun Dr. Mahathir semasa dialog di Blog@1 RTM pada 9/1/2009. Soalan pertama berkisar mengenai keberkesanan usaha memboikot barangan yang mempunyai kepentingan Amerika Syarikat dan Israel manakala soalan kedua menyentuh mengenai nasib pekerja di syarikat yang terlibat dalam usaha pemboikotan.

Secara ringkasnya, menjawab soalan pertama, Tun berpendapat bahawa usaha memboikot barangan yang mempunyai kepentingan Amerika Syarikat dan Israel kalau tidak banyak sedikit tetap akan memberi tekanan kepada Amerika Syarikat dan Israel sekiranya ia dilakukan secara terancang dan ianya akan membantu usaha-usaha lain untuk mendesak Israel menghentikan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Islam Palestin.

Tun juga menjawab soalan kedua dengan menyatakan bahawa pengorbanan diperlukan dalam usaha membela nasib rakyat Palestin.

1. Secara keseluruhannya saya bersetuju dengan jawapan dan pandangan Tun Dr. Mahatir.

2. Persoalan samada berkesan atau tidak, tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita turut menyertai kempen memboikot barangan AS dan Israel.

3. Apa yang perlu kita fahami adalah setiap umat Islam bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu bagi membela nasib saudara kita di Palestin.

4. Semestinya tindakan yang akan dilakukan merupakan sesuatu yang difikirkan sesuai dan dijangka akan memberi kesan atau dapat mencapai matlamat yang dimaksudkan.

5. Walaubagaimanapun, kita perlu sedar bahawa kemampuan manusia hanyalah terbatas kepada merancang dan melaksanakan apa yang difikirkan tepat dan betul sahaja, sebaliknya segala ketentuan atau hasil daripada tindakan kita merupakan hak mutlak Yang Maha Kuasa. Kita merancang Tuhan menentukan.

6. Memboikot barangan yang mempunyai kepentingan AS dan Israel merupakan salah satu usaha yang dikenalpasti sedikit sebanyak dapat memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin ketika ini dan ianya di bawah kemampuan semua orang untuk melakukannya.

7. Kita tinggalkan dahulu persoalan samada ianya berkesan atau tidak.... lakukan segera... berdoalah...dan berserahlah kepada Yang Satu.

8. Ayuh! Atas nama Allah Yang Maha Kuasa kita sama-sama lakukan tanggungjawab kita untuk menyelamatkan saudara kita yang sedang menderita di Palestin.

9. Boikot! Boikot! Boikot!

* Barangan utama untuk diboikot: Coca cola, Colgate dan StarBucks.

Khamis, 8 Januari 2009

TOMYAM


Belumpun melepasi satu minit setelah pertandingan bermula, meja yang digunakan untuk menyediakan bahan masakan terlipat jatuh. Bunyi mangkuk kaca dan sebahagian bahan-bahan dan peralatan memasak berderai ke lantai menggamatkan suasana. Semua mata tertumpu ke meja 4 yang sudah hilang rupa asalnya. Petugas-petugas acara datang untuk cuba mengembalikan keadaan. Meja diratakan semula dan bahan-bahan masakan diganti baru....malangnya sos rahsia yang merupakan bahan utama masakan kami tertumpah hampir separuh. Harapan menjadi semakin pudar.....namun demi kemeriahan suasana aku dan Br. Syakirin terus menyahut cabaran.......Br. Syakirin terus segak menghiris semua bahan-bahan masakan manakala aku mengendalikan bahagian memasak. Seluruh kawasan pertandingan diselubungi aroma Tom-yam yang disediakan oleh enam kumpulan yang terdiri daripada kumpulan pelajar dan kakitangan. 45 minit masa diberikan kepada semua peserta untuk menyiapkan hidangan termasuk hiasannya....Kumpulan aku dan Br. Syakirin diberi masa tambahan setelah insiden di awal pertandingan diambil kira. Semua peserta bejaya menyiapkan hidangan tom-yam dalam masa yang ditetapkan.......Mami selaku ketua juri disertai oleh tiga orang lagi melakukan penilaian dengan wajah yang yakin walaupun di antara mereka itu tak lebih dan tak kurang pengetahuannya dalam hal masakan berbanding kami......apa tidaknya.....juri-juri lainnya tak lain dan tak bukan adalah rakan taulan, Br. Handz, Br. Fakhul dan Ir. Syarifuddin...........namun itulah intipati kemeriah acara pertandingan memasak tom-yam sempena majlis penutup 'Moleknya Thai Exhibition’....amatur mengadili amatur.....gamatlah jadinya. Mengharapkan keputusan yang tepat daripada para juri adalah sesuatu yang keterlaluan lantas kegagalan kami untuk meraih sebarang tempat bukanlah sesuatu yang tidak dijangka. Namun, kemeriahan dan kejasama pelajar dan kakitangan dalam menjayakan acara yang dianjurkan adalah matlamat sebenarnya......bukanlah kemenangan yang dicari. Sekadar memberi sokongan kepada aktiviti-aktiviti pembangunan pelajar....Tahniah kepada Br. Fakhul dan semua pelajar di atas kelancaran acara.

Khamis, 1 Januari 2009

TERKENANG KISAH DULU #2 (Ancaman Parti Komunis Malaya)

Memang leka dibuatnya bila bersama kawan-kawan mandi di Sungai Munah. Pasti ada sehari dalam seminggu aku dan kawan-kawan ke sungai yang tak pernah lesu mengalirkan air sejernih kaca itu. Orang kampung aku memanggilnya Sungai Munah kerana rumah Munah terletak paling hampir dengannya. Memang cantik dan yang paling penting ianya sangat sesuai untuk kami bermandi-manda sambil melakukan pelbagai aksi terjunan dan menyelam. Pohon kasai di sebelah tebing yang curam bagaikan payung meredupi kawasan aliran yang berkelok tempat kami bermain. Kadang-kadang kami berkelah mi segera di bawahnya.
Pada suatu hari ketika matahari remang aku dan kawan-kawan berlari ke Sungai Munah setelah mendapat kebenaran dari emak masing-masing. Hari itu kami tidak memilih kawasan di bawah pohon kasai untuk bermain sebaliknya sedikit ke hilir di mana terdapat satu bongkah batu besar untuk kami jadikan pelantar terjun. Pelbagai aksi kami lakukan. Bunyi kocakan air dan jerit tawa kami menyelubungi suasana. Mak Lias yang sedang mandi di kawasan cetek berhampiran langsung tidak mempedulikan gelagat kami.
Kami terus asyik dengan aksi masing-masing....semakin menjadi-jadi. Dalam keasyikan bermain kami tiba-tiba tersentak dikejutkan oleh satu dentuman yang agak asing bunyinya. Semua memandang ke arah satu sama lain dan kemudiannya menoleh ke arah datangnya bunyi tersebut......"bunyi apa tu?," aku cuba mencari kepastian. Semuanya diam sehinggalah seorang daripada kami tiba-tiba bersuara memberi pendapat..."bunyi orang bakar buluh kut"....yang lain masih diam dalam wajah ingin bersetuju dengan tekaan tersebut...Kebetulan ketika itu musim orang membersihkan sawah selepas menuai. Kebiasaannya jerami padi yang tertinggal dan sampah-sampah akan dibakar. Kemungkinan buluh juga turut dibakar ketika itu....belumpun sempat kami benar-benar setuju dengan tekaan tersebut kedengaran satu lagi dentuman yang hampir sama......bezanya kali ini ianya belaku ketika semua kami sedang diam....bunyinya menjadi lebih jelas dan yang pasti ianya membuat kami mencurigai tekaan salah seorang kawan kami tadi.......bunyinya sangat berbeza berbanding bunyi buluh dibakar yang pernah kami dengar....tiada siapa yang berani memberi pendapat ketika itu.......masing-masing dalam wajah kebingungan...tiada yang mahu bersuara......dalam kebingungan tersebut, tiba-tiba menyusul pula bunyi yang jauh berbeza. Kali ini semuanya menjadi pasti.....bunyinya sama seperti bunyi tembakan dalam cerita 'combat' di TV.....bunyi senjata automatik.....dua bunyi sebelumnya kami simpulkan sebagai bunyi bom atau mortar....keadaan bertukar menjadi cemas.....Mak Lias turut menjadi kalut. "balik budak-budak..balik" jerit Mak Lias.
Tiada apa yang dapat kami fikirkan lagi........semuanya meredah sungai ke tebing untuk terus pulang ke rumah. Mak Lias turut sama berlari bersama kami....Dalam kekalutan tersebut berlaku satu insiden melucukan......ketika memanjat tebing menuju ke batas sawah, Mak Lias jatuh tergolek dan berguling ke bawah tebing.....ada di antara kawan aku yang tergelak kecil melihatnya.....Mak Lias bingkas bangun dan terus berlari....aku tak pasti ke mana Mak Lias selepas itu.
Untuk balik ke rumah, kami terpaksa melintasi kawasan sawah yang baru dituai. Keadaan menjadi lebih menakutkan apabila bunyi tembakan terus bersambung ketika kami cuba melewati kawasan sawah tersebut........semua kami bagaikan sedang berfikir perkara yang sama.....hampir serentak kami terjun ke dalam sawah dan membenamkan badan ke dalam lumpurnya untuk mengelak daripada terkena peluru tembakan walaupun kami tidak pasti dari mana datangnya arah tembakan tersebut........masing-masing tidak bergerak di dalam lumpur sawah sambil menanti bunyi tembakan berhenti untuk terus berlari pulang......bunyi tembakan masih berterusan...kadang-kadang terhenti dan kemudian kembali bersambung.........aku yakin semua kawan-kawan sedang berdoa ketika itu...itu jugalah yang aku mampu lakukan.
Beberapa minit seterusnya bunyi tembakan tidak lagi kedengaran.....namun semua kami masih tidak berani mengambil risiko untuk bangun......di bawah pokok bongor di tepi sawah kelihatan seorang askar bersenjata kemas di tangan.....beliau juga kelihatan cemas berselindung di sebalik pohon bongor tersebut......beliau tidak menghampiri kami sebaliknya liar memerhati kawasan sekeliling dari situ.
"kin, kin, kin".....dari jauh kami dengar suara menjerit nama aku. Sejurus kemudian kelihatan seorang lelaki muda sedang berlari ke arah kami. "Abang!" aku menjerit...Abang Jasni terus meluru ke arah kami...."mari" abang aku mengajak kami untuk mengikutnya balik ke rumah.....semua kami ikut berlari balik ke rumah aku. Rupanya telah ramai orang yang berkumpul di rumah aku ketika kami sampai.....keluarga kawan-kawan aku juga turut berada di sana..........(akan disambung di bawah tajuk yang sama)